Kemahiran Bahasa


KEMAHIRAN BERBAHASA
Kemahiran berbahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran berbahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Penguasaan kesemua kemahiran ini amat penting dalam proses pengajaran dan pempelajaran supaya berjalan dengan lancar dan berkesan. Kemahiran bahasa yang berhubung dengan kemahiran lisan melibatkan dua komponen asas, iaitu mendengar dan bertutur. Kedua-dua komponen ini berkait rapat dan saling melengkapi. Kemahiran membaca dan menulis pula merupakan kemahiran bukan lisan.
Kemahiran Mendengar
Pengenalan
Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan pelajar mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti cerita, arahan, perbualan, soal jawab, laporan berita, dan perbincangan. Kemahiran mendengar ini adalah kemahiran lisan yang paling asas dan ia berlaku pada peringkat penerimaan (receptive level).
Seseorang pelajar yang telah dapat menguasai kemahiran mendengar harus dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan dapat memahami maksud serta boleh mentafsir apa sahaja yang didengar itu dengan tepat. Kemahiran ini juga dimulakan pada peringkat awal pengajaran bahasa yang bertujuan untuk memungkinkan pelajar fasih bercakap dalam bahasa yang dipelajari itu.
Menurut ILA (1996), kemahiran mendengar merupakan satu proses menerima atau memahami makna dan tindak balas terhadap percakapan atau bukan percakapan untuk mendengar sesuatu yang melibatkan proses minda atau pemikiran. Menurutnya lagi, terdapat dua cara komunikasi yang berkesan iaitu, bergantung kepada percakapan dan pendengaran.
Menurut Yahya Othman dalam buku ‘Pedagogi Bahasa’ pula menyatakan bahawa mendengar adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif terutama semasa belajar di sekolah rendah dan menengah seperti yang terkandung dalam sukatan pelajaran. Aktiviti mendengar penting untuk dikuasai kerana penggunaannya begitu meluas dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, dianggarkan lebih kurang 60 peratus daripada masa yang digunakan adalah bagi tujuan mendengar. Keupayaan mendengar yang berkesan perlu ditekankan supaya pelajar dapat menguasai semua mata pelajaran ketika di dalam kelas.
Pada peringkat yang lebih tinggi, pelajar mendengar pada jangka masa yang lama sebelum mencuba untuk bertutur. Kemahiran mendengar juga memberikan peluang kepada pelajar mendapatkan makna bagi mesej yang didengar bagi bahasa itu. Hal ini juga dapat membantu pelajar memperbaiki kemampuan dari segi penggunaan bahasa dengan lebih baik lagi. Sekirannya pelajar tidak menguasai kemahiran mendengar ini dengan baik, maka mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan tidak memahami apa yang disampaikan oleh guru semasa pengajaran di dalam kelas.
Pendengaran (listening) merupakan suatu kemahiran yang asas dan utama dalam proses komunikasi. Tetapi, aktiviti ini diabaikan dan tidak diberikan perhatian yang serius oleh kebanyakan orang.
 
Menurut seorang pakar komunikasi, Paul Rankin (1929), 70% daripada waktu tidak tidur kita dalam sehari digunakan untuk berkomunikasi dan 45% pula digunakan untuk mendengar sesuatu. Manakala 30% lagi digunakan untuk percakapan atau perbualan, sebanyak 16% daripada masa komunikasi anda digunakan untuk bacaan dan hanya 9 % masa anda dihabiskan untuk penulisan. Kajian yang telah dibuat oleh kebanyakan pakar menunjukkan bahawa kira-kira 85% daripada pengetahuan kita diperolehi melalui pendengaran.
Menurut Markgraf (1957) yang dipetik oleh Koh Boh Boon dalam bukunya iaitu ‘Perspektif-perspektif Dalam Pengajaran Bahasa Malaysia’ menyatakan , kajian terhadap murid-murid sekolah tinggi pula menunjukkan bahawa pelajar ini telah menggunakan 46% daripada masa mereka di sekolah untuk mendengar sahaja dan 60% daripada aktiviti pendengaran itu adalah untuk mendengar percakapan guru. Seterusnya, terdapat beberapa kaji selidik yang dijalankan yang berkaitan tentang kepentingan kemahiran mendengar yang diajar di luar dan dalam bilik darjah.
Kesimpulannya, kemahiran mendengar ini merupakan sebahagian daripada proses komunikasi antara manusia. Mendengar adalah aktiviti aktif dari segi mental kerana kemahiran ini melibatkan kefahaman dan pemprosesan maklumat yang didengar.
 Definisi Mendengar
Terdapat perbezaan antara “listening” dan “hearing”. Kedua-dua perkataan bahasa Inggeris tersebut mempunyai maksud yang sama dalam bahasa Melayu. Namun sebenarnya “hearing” adalah mendengar yang bersifat fizik, bermaksud ada suara yang didengari oleh telinga kita, namun tidak diperhalusi oleh fikiran kita, jadi apa-apa yang didengari oleh kita bersifat angin lalu, iaitu tidak berkesan. “Listening” pula melibatkan usaha-usaha aktif dari fikiran kita dan perhatian penuh atas apa yang kita dengar melalui telinga kita.
Dengan demikian mendengar yang efektif adalah seperti “listening” dalam Bahasa Inggeris yang merupakan sebuah proses serius yang tidak boleh dilakukan hanya dengan mengandalikan kebiasaan, refleks atau perasaan. Mendengar yang efektif adalah upaya untuk menghubungkan titik-titik yang kadangkala menyatakan nasihat yang tersembunyi yang perlu kita tahu.
Sayangnya kita kurang memberi perhatian tentang pentingnya mendengar secara efektif, sehingga seringkali menyebabkan kesilapan dalam komunikasi, salah menerima maklumat atau tindak balas dari pendengar yang tidak diharapkan.
Salah satu penelitian menunjukkan rata-rata orang menghabiskan satu pertiga daripada waktunya dalam organisasi untuk mendengar. Sehingga jika kita memiliki kecekapan mendengar yang baik, waktu yang kita habiskan untuk mendengar akan lebih bermakna.
Implikasi kurangnya perhatian pada kecakapan mendengar secara efektif adalah fakta bahawa menjadi pembicara yang efektif sudah seringkali kita dengar, namun latihan untuk mendengar yang efektif rasanya jarang kita temui. Padahal kecekapan mendengar sangatlah penting. Orang bijak mengatakan kita dikurniakan oleh Tuhan dengan dua telinga untuk lebih banyak mendengar dan hanya satu mulut untuk lebih sedikit berbicara.
 
 
Kemahiran Bertutur.
 Definisi Kemahiran Bertutur.
 Kemahiran bertutur ialah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator) manusia. Kemahiran tersebut merupakan kemahiran berinteraksi menggunakan bahasa. Kemahiran bertutur berlaku pada peringkat pelahiran yang tidak boleh dicipta oleh pelajar, tetapi mesti ditiru dan diajuk. Model pertuturan yang lemah akan menghasilkan ajukan yang lemah. Sementara model yang baik belum tentu dapat menjamin ajukan yang baik. Namun begitu, model yang baik itu sangat diperlukan kerana model tersebut mungkin akan menghasilkan tindak balas yang baik juga.
Dalam ilmu linguistik, bahasa diungkapkan dengan sempurna melalui pertuturan. Hal ini demikian dalam bahasa tulisan, aspek sebutan seperti intonasi, rentak , tekanan, jeda dan persediaan tidak dapat digambarkan dengan jelas. Namun demikian, ini tidak bermakna guru bahasa mengajarkan penguasaan audio-lingual sahaja. Pernyataan di atas tadi member implikasi bahawa menghurai bahan bertulis dengan tidak mengetahui pola-pola bahasa seperti yang terdapat dalam pertuturan itu, sebenarnya tidak lengkap dan tidak sempurna sifatnya.
 
Kemahiran Membaca.
Definisi kemahiran membaca.
Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca adalah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain.
Membaca dapat membantu memperluaskan pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu dalam pelbagai bidang. Membaca adalah proses kebalikan daripada proses menulis. Proses membaca memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali lambang-lambang bertulis kepada lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Membaca berbeza daripada mendengar kerana membaca melibatkan kedua-dua aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca kita akan menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran.
Kemahiran membaca merupakan proses yang dinamik tetapi kompleks. Ia meliputi keupayaan membaca dengan pantas, memahami fakta, kebolehan mengingati fakta serta membuat interpretasi secara bijak dan analisis. Ketika seseorang itu membaca, ia sebenarnya sedang berkomunikasi secara langsung dan sedar dengan bahan bacaanya. Dia mencuba menyelami pemikiran dan idea yang cuba disampaikan oleh pengarang. Seseorang yang berjaya menguasai kemahiran membaca bermakna dia telah berjaya merobohkan sebuah tembok pemisah yang maha besar antara dirinya dengan lautan ilmu yang wujud dalam pelbagai bentuk karya (Zulkifley Hamid, 1994).
Konsep membaca.
Pumfrey (1977) berpendapat membaca bukanlah hanya setakat bersifat mekanik, iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang apa yang dibaca, tetapi membaca adalah lebih jauh daripada itu. Membaca adalah satu proses pemikiran yang membina. Maksud beliau, dengan membaca, seseorang itu harus dapat membina kebolehan menilai, mengulas dan mengkritik apa yang dibaca dengan tepat, memahami kehendak situasi dan aspirasi masyarakat di sekeliling, membina sikap dan cita-cita serta fikiran yang terbuka dan positif.
 
Psikolinguitik kognitif menolak definisi membaca menurut fahaman teori pembelajaran lama yang mengatakan bahawa membaca adalah satu kegiatan mengenal kata-kata dengan cara membunyikannya (dalam hati) dan kemudian menarik erti daripada kata-kata itu.
Definisi ini seolah-olah mementingkan pengenalan kata yang tepat satu persatu dengan cara menyembunyikannya lebih dahulu sebelum kita dapat menarik erti sesuatu kalimat. Definisi ini mengetepikan peranan yang dimainkan oleh pembaca. Pembaca merupakan satu organisma yang pasif yang hanya menunggu kemasukan erti dari luar. Ini merupakan satu proses satu hala yang sangat bercanggah dengan keadaan sebenarnya. Proses satu hala ini ditentang oleh psikolinguistik kognitif kerana tidak mengambil kira peranan yang dimainkan oleh pembaca.
 Proses Membaca
Penyelidik-penyelidik seperti Goodman (1971, 1973) dan Smith (1971, 1975) misalnya, pernah menyatakan pendapat bahawa membaca ialah proses psikolinguistik yang bermula dari detik pembaca itu memerhatikan perkataan pada muka surat hingga detik pembaca itu dapat membentuk makna. Hal ini bermakna sepanjang proses membaca terdapat interaksi antara bahasa dengan pemikiran.
 
Proses membaca dapat dirumuskan seperti yang berikut :
i. Perlakuan membaca terdiri daripada kemahiran mengenal dan memahami bahan yang dibaca.
ii. Kemudian, perlakuan membaca dapat menghasilkan kefahaman pembaca.
iii. Dalam proses membaca, seseorang itu akan berfikir, mencuba untuk merasai dan akan membayangkan maklumat yang dibaca tadi. Dalam hal ini, aktiviti membaca seolah-olah menjalinkan interaksi antara pembaca dengan penulis, serta tujuan tertentu yang hendak ditonjolkan.
 
iv. Seterusnya , perlakuan membaca memerlukan kebolehan pembaca mengaitkan dan mengintegrasikan segala aspek yang berkaitan dengan tujuan membaca, jangkaan, pengetahuan dan pengalaman lalu tentang perkara yang dibaca bagi menghasilkan sebuah pembacaan yang berkesan dan menerbitkan pemahaman terhadap bahan yang dibaca.
Kemahiran Menulis.
Definisi Menulis
Secara umumnya, menulis merupakan perlakuan menggunakan pen, pensel atau sebarang alat tulis bagi menulis atau menaip sebarang idea mahupun pernyataan. Namun begitu, definisi ini begitu umum dan bersifat mekanikal.
Definisi menulis menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (muka surat 1729), ialah mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai pena seperti kalam,kapur , pensel dan lain-lain. Di samping itu, menulis juga bermaksud melahirkan perasaan (fikiran dan lain-lain) dengan catatan yang memakai huruf, membuat surat atau mengarang.
Menurut Paul Jennings pula dalam The Reading Bug, “Menulis adalah keperluan peribadi bukan kerana tugas di dalamnya tetapi ada kesenangan dan ada manfaat untuk kehidupan sehari-hari. Ada nilai yang tak ternilai dalam kegiatan ini.”
 
Sebenarnya, menulis bermaksud kegiatan simbol-simbol grafik yang disusun atur berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan seterusnya disusun menjadi ayat-ayat. Tulisan pula merupakan bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi di samping sebagai alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan.
Konsep Menulis.
 
Konsep menulis secara khusus dikaitkan dengan proses penyaluran ilmu, idea atau maklumat secara bersistem yang mengambil kira aspek tujuan menulis, penggunaan bahasa, audiens dan gaya penulisan supaya dapat menggambarkan keadaan, alam dan kehidupan secara lebih menyeluruh.
Oleh yang demikian, kemahiran menulis bukan suatu yang bersifat tetap tetapi mampu membantu ke arah pemahaman pemikiran terhadap proses penulisan terutama dalam suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah contohnya keupayaan murid menulis perkataan dan ayat serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan.
 Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, peranan tulisan sangat penting kerana tulisan bertindak sebagai alat bagi menurunkan segala isi pelajaran dan mempamerkan buah fikiran seseorang. Tulisan berhubung rapat dengan membaca di mana kedua-duanya mementingkan teknik dan akal. Membaca tidak mungkin ada kalau tidak ada tulisan begitu juga sebaliknya.
 Di sekolah-sekolah, pelajaran menulis dan membaca bukanlah sesuatu yang terpisah sifatnya malah seharusnya dijalankan serentak atau dalam masa selari. Walaupun pada dasarnya membaca seharusnya mendahului tulisan tetapi kadangkala kanak- kanak telah pandai menulis ketika masuk sekolah. Ini tidaklah merisaukan kerana sewaktu mereka menulis mereka juga membaca.
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan